Tuesday 2 November 2010

Ciri-Ciri Khutbah Yang Mendorong Pertumbuhan Iman Jemaah



Sebuah khutbah perlu disediakan berdasarkan ciri-ciri yang lazimnya dapat diterimapakai, di antaranya adalah seperti yang disentuh di bawah ini supaya sesebuah khutabh itu mampu membantu Jemaah bertumbuh di dalam iman:-

1)      Harus bersifat menghibur, menggalak, mendorong, memimpin, membimbing, memberi pengajaran, memberi keyakinan akan firman Allah, menegur kelakuan yang tidak berkenan di hadapan Allah, menyatakan kesalahan, memperbaiki tingkah-laku dan untuk mendidik orang di dalam kebenaran (2 Tim. 3:16).
2)      Hendaklah memusatkan penumpuan untuk menerapkan kebenaran firman Allah yang telah dipetik agar para pendengar mendapat pengetahuan yang benar mengenai petikan tersebut. 
3)      Harus ada pokok persoalan yang perlu dijelaskan oleh beberapa kebenaran dalam petikan tersebut yang perlu diterapkan ke dalam kehidupan anggota Jemaah.  Apabila seorang pengkhutbah tidak mempedulikan teks yang dibaca tetapi terus berbicara tanpa ada kaitan dengan teks maka terjadilah khutbah yang tidak pandai mendarat sekali ia mendarat dengan cara terhempas sahaja sebab petikan Alkitab ditinggalkan seperti sebuah kapalterbang yang hilang ara, tidak tahu di mana lapangan terbang.
4)      Hendaklah mempunyai sasaran.  Jika khutbah tidak mempunyai sasaran ia tidak mampu membangun iman anggota Jemaah kerana khutbah itu tidak mempunyai ara yang hendak dituju.  Sasaran bagi sebuah khutbah adalah dibangun dari tema yang mahu diterapkan kepada anggota Jemaah.  Jika kita berkhutbah tentang tema “Kehidupan yang Kudus”, sasaran jangka panjang khutbah kita ialah untuk melihat kehidupan anggota Jemaah menjadi kudus kerana itulah tuntutan Allah bagi kita dalam Kristus Yesus.
5)      Hendaklah disampaikan secara positif kerana cara ini akan membantu anggota Jemaah memiliki pandangan yang positif.  Sekiranya sebuah khutbah itu disampaikan secara negatif, ia hanya merupakan penghalang bagi anggota Jemaah untuk masuk ke dalam kebenaran kerana biasanya apabila penjelasan maksud firman Allah itu disampaikan secara negatif, ia tidak betul.
6)      Haruslah tidak dicampur-aduk dengan masalah gereja kerana pendengar bukan datang untuk mendengar laporan mutakhir tentang kelemahan/masalah di dalam gereja melainkan untuk mendengar berita mutakhir daripada Allah tentang kehendak-Nya terhadap umat-Nya.
7)      Hendaklah diawasi penyampaiannya supaya kesucian mimbar tetap terpelihara jangan sampai mimbar menjadi medan melafazkan perasaan terhadap sesuatu perkara atau pun kepada seseorang.  Mimbar adalah untuk membicarakan kebenaran firman Allah dan bukan tempat membahas atau mempertikaikan sesuatu masalah/pendapat.
8)      Hendaklah berisi rohani dan bukan semata-mata akademik. Sering kali pengkhutbah membuat kesilapan di dalam penyampaian fakta-fakta akademik disebabkan kurang pengetahuan tentang sejarah Alkitab.  Sama ada akademik atau pun rohani, setiap ungkapan di dalam khutbah perlu dijaga agar ia tidak bertentangan dengan kebenaran kerana ini akan menyesatkan anggota Jemaah.
9)      Hendaklah dijauhkan dari tafsiran-tafsiran yang tidak dapat ditarik kebenarannya dari teks kerana ini akan menimbulkan kebingungan di kalangan pendengar.
10)  Pengkhutbah hendaklah tahu membezakan di antara renungan dan khutbah.  Dalam Kebaktian Umum di Gereja, seorang pengkhutbah hendaklah menyampaikan khutbah dan bukan renungan.
11)  Khutbah harus mempunyai tema dan pokok persoalan yang hendak dijelaskan kepada para pendengar sementara renungan adalah penyampaian firman Allah yang pendek dan biasanya orang mengambil satu ayat sebagai ayat emas yang akan dihuraikan atau seseorang pembawa renungan akan menghuraikan ayat demi ayat.

Seorang pengkhutbah perlu menghindarkan diri dari menyampaikan suatu tema yang ia sendiri belum mengalaminya atau kurang memahaminya kerana para pendengar tidak akan memperoleh pengertian yang benar terhadap tema itu.  Anggota Jemaah tidak kurang yang memiliki pengertian yang baik tentang firman Allah lalu mungkin sahaja si pengkhutbah itu akan dikritik.

Tema bukan sekadar penghias khutbah melainkan persoalan dari tema itulah yang harus diterapkan kepada para pendengar.  Sering kali pengkhutbah mengumumkan tema khutbahnya tetapi langsung tidak menyentuh kebenaran dalam tema tersebut di dalam pembahasan khutbahnya.

No comments:

Post a Comment