Tuesday 2 November 2010

PERANAN GEREJA DALAM PERTUMBUHAN EKONOMI ANGGOTA JEMAAH



Ada pendapat yang mengatakan bahawa gereja tidak menyelamatkan sesiapa melainkan Tuhan Yesus sahaja.  Ini adalah satu pendapat yang tepat sekali.  Walau bagaimanapun, apabila kita mengkaji secara mendalam tentang pendapat ini, ia beranggapan bahawa gereja tidak mempunyai peranan di dalam penyelamatan manusia.  Di dalam 1 Korintus 1:21 dikatakan bahawa melalui kebodohan pemberitaan firman-Nya, Allah berkenan untuk menyelamatkan manusia.  Jika gereja tidak mempunyai peranan dalam penyelamatan manusia, kita tidak memerlukan gereja serta para pelayannya sebab kita tidak perlu mengisytiharkan Berita Baik, tidak perlu ada visi dan misi.  Gereja yang tidak menyedari akan peranannya di dalam penyelamatan manusia adalah gereja yang tidak menyelamat.  Perkara yang menentukan sama ada sesebuah gereja itu telah melaksanakan peranannya di dalam penyelamatan manusia atau tidak adalah pengajarannya.  Apakah pengajaran Gereja itu mampu menghasilkan pertaubatan di kalangan anggotanya?[1].

Di dalam hal ini, gereja bukan sahaja berperanan di dalam penyelamatan manusia tetapi juga untuk menaikkan taraf ekonomi para anggota gereja sebab tanpa peningkatan di dalam bidang ekonomi, mereka mudah dipengaruhi oleh kemewahan hidup yang ditawarkan oleh dunia ini lalu tidak hairan bila ada anggota gereja yang sanggup terjebak di dalam perbuatan rasuah atau dengan mudah sahaja menyangkal Tuhan Yesus kerana mengejar kemewahan yang akhirnya membawa mereka ke dalam kancah kehancuran.

A)                Peranan Gembala Dalam Pertumbuhan Ekonomi Jemaah

Ketika para misionari memulakan pelayanan mereka di kalangan suku Rungus, mereka mendapati bahawa salah satu keperluan yang sangat mendesak di kalangan suku itu ialah peningkatan taraf ekonomi.  Maka mereka telah membuka Sekolah Pertanian (Farm School) dan Sekolah Sains Rumahtangga untuk melatih para belia di dalam bidang pertanian, pertukangan tangan dan pemeliharan ternakan serta pengurusan rumahtangga bagi kaum wanita[2].  Seminari Teologi Sabah juga menawarkan mata pelajaran “Pertanian” sebab pelajaran ini merupakan salah satu pelajaran yang sangat membantu di dalam pelayanan.  Seorang gembala bukan sahaja diharapkan untuk membimbing para anggota Jemaah bertumbuh di dalam kehidupan rohani mereka tetapi juga untuk mengajar mereka bagaimana meningkatkan taraf ekonomi.  Di dalam kitab Injil Yohanes 10:10b ada tertulis, “Tetapi Aku datang supaya manusia mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan’.  Gereja mengharapkan sumbangan kewangan daripada anggotanya bagi membiayai segala perbelanjaannya.  Walau bagaimanapun, bila pendapatan para anggota Jemaah tidak cukup untuk menampung keperluan mereka sendiri, apakah yang mereka hendak sumbangkan kepada gereja?  Sebab itu, gembala harus memainkan peranannya sebagai pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi anggota Jemaah.

Gembala berperanan untuk mengajar para anggota Jemah mengenai kebenaran hidup yang berkelimpahan berdasarkan firman Allah.  Sesiapa yang ingin mencapai kemakmuran ekonomi dengan berpegang kepada undang-undang kemakmuran sahaja tanpa mengikis sikap-sikap yang mengundang kemiskinan, ia hanya menipu dirinya sendiri sebab cara itu tidak akan berhasil.  Berikut ini adalah beberapa dasar untuk mengatasi kemiskinan[3]:

i)        Mengikis Keinginan untuk Menjadi Kaya dengan Apa Cara Sekalipun

Di kalangan orang Kristian, ramai yang masih terlibat di dalam perjudian seperti empat ekor, jackpot, lumba kuda dan pelaburan dalam “Skim Cepat Kaya”.  Anggota Jemaah perlu dibimbing di dalam usaha mereka untuk meningkatkan taraf ekonomi agar mereka melakukan apa yang benar di hadapan Tuhan, walaupun ia tidak membawa keuntungan yang berlipat ganda tetapi sekurang-kurangnya ia tidaklah mengundang kemiskinan.  Perjudian seperti empat ekor dan jackpot adalah cara mencari kekayaan yang hanya mengundang kemiskinan sebab ia semata-mata bergantung kepada nasib sahaja dan bukan atas usaha seseorang.  Lagi pun keuntungan yang kita peroleh itu adalah kerugian bagi orang lain dan ini sama sahaja kita mencuri.  Sudah sekian ramai orang yang telah menjadi papa kedana disebabkan oleh judi.  Alkitab berkata ‘Orang yang kikir ingin cepat kaya.  Dia tidak sedar bahawa kemiskinan segera menimpa dia’ (Ams 28:22).

ii)      Mengikis Sikap Kedekut

Amsal 11:24 berkata ‘Ada orang yang memberi tetapi masih bertambah kaya.  Ada orang yang kedekut tetapi bertambah miskin pula’.  Berdasarkan ayat Alkitab ini, kita tahu bahawa penghapusan sikap kedekut merupakan salah satu cara untuk meningkatkan ekonomi sebab apabila kita lebih rela memberi, firman Allah berkata bahawa kekayaan kita bukan berkurangan melainkan ia akan bertambah.  Firman Tuhan juga berkata bahawa kita harus memberi dengan rela hati kerana Allah mengasihi orang yang memberi dengan sukacita (2 Kor 9:7).

Kemandirian gereja di dalam soal kewangan akan lebih senang dicapai apabila anggota gereja sudah menyedari bahawa semua yang mereka miliki adalah berasal daripada Allah dan harus berkongsi berkat itu dengan orang lain (Luk 5:7).  Anggota gereja walaupun ada kemampuan kewangan tetapi tidak begitu murah hati di dalam soal memberi kewangan kepada gereja selagi mereka belum menyedari bahawa semua yang mereka miliki itu adalah pemberian daripada Allah yang mereka harus mengucap syukur melalui persembahan mereka kepada gereja.  Ini semua adalah tanggungjawab para gembala untuk menyedarkan para anggota Jemaah melalui firman Allah yang membangkit iman mereka (Roma 10:17).

iii)       Mengikis Sikap Malas

Ketika Tuhan Yesus memanggil kita untuk menjadi pengikut-Nya, Dia tidak pernah berjanji bahawa kita tidak perlu lagi bekerja keras untuk mendapatkan makanan bahkan rasul Paulus berkata bahawa orang yang malas bekerja janganlah ia makan (2 Tes 3:10).  Anggota Jemaah perlu diberi dorongan untuk mengubah sikap malas sebab firman Tuhan mengatakan bahawa kemalasan akan mengundang kemiskinan.  Mereka yang tidak sanggup bekerja keras tetapi cuba memiliki kemakmuran dengan menuntut janji-janji Allah akan mati kelaparan (Ams 6:9-11; 20:13; 24:30-34).

Burung-burung di udara tidak pernah  menabur, menuai dan mengumpul harta di dalam lumbung tetapi tidak seekor pun yang jatuh mati kerana kelaparan.  Bapa di syurga telah menyediakan makanan yang berlimpah bagi mereka.  Walau bagaimanapun, kita tidak pernah melihat seekor burung yang bertenggek sahaja di atas pokok sepanjang hari melainkan ada peribahasa yang mengatakan, ‘Burung yang bangun awal pagi, dialah yang mendapat ulat’.  Burung pun perlu bekerja keras untuk mendapatkan makanan.  Manusia yang lebih berharga daripada seekor burung juga perlu bekerja keras untuk mendapatkan makanan yang Allah Bapa kita telah sediakan kepada kita semua.

iv)       Mengikis Sikap Ingin Mengejar Nikmat dan Kemewahan Dunia

Orang yang ingin mengejar nikmat dan kemewahan dunia tidak akan menghiraukan tentang dosa asalkan dapat mencapai impiannya (Ams 28:19-20).  Orang seperti ini sanggup menipu dan melakukan rasuah untuk memperoleh kekayaan walaupun ia tahu bahawa hal seperti itu hanya membawanya ke dalam kebinasaan.  Kekayaan yang diperoleh dengan cara sedemikian tidak akan membawa kebahagiaan yang kekal sebab jika ia sanggup menipu untuk mendapatkan kekayaan ia pun sanggup menggunakan kekayaan itu bagi perkara-perkara yang tidak memuliakan Tuhan seperti kemabukan, pesta pora dan pemuasan hawa nafsu.
Anggota gereja perlu mencari kemewahan hidup dengan cara yang berkenan di hadapan Tuhan.  Dengan cara ini, ia juga dapat menatalayan berkat Allah dengan baik demi kemuliaan Tuhan (Luk 19:16-17).

v)         Meninggalkan kehidupan yang berdosa

Amsal 28:13 berkata, “Sesiapa menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya dalam hidupnya.  Sesiapa mengaku dan meninggalkan dosanya akan dikasihani Allah”. Kita tahu bahawa ketika dosa masuk ke dalam dunia melalui Adam, kemiskinan juga turut memasuki dunia.  Allah berfirman, “maka terkutuklah tanah kerana engkau; dengan susah payah engkau akan mencari rezekimu......... dengan berpeluh engkau akan mencari makananmu sampai engkau kembali lagi menjadi tanah....” (Kej 3:17b-19),  Setelah kita percaya kepada Tuhan Yesus, Adam Kedua yang menghapuskan segala kutuk, kita tidak lagi dapat menyalahkan dosa sebagai penyebab kemiskinan.  Walau bagaimanapun bila kita mengkaji secara terperinci tentang sebahagian besar penyebab kemiskinan di kalangan anggota gereja, dosa masih merupakan punca utamanya.

Mereka yang belum bertaubat pastinya masih menyalahgunakan berkat Allah.  Seseoarng yang sudah bertaubat tidak akan memboroskan wang ringgitnya untuk membeli minuman keras, rokok dan sebagainya.

Sekali lagi peranan gembala sangat diperlukan untuk menolong para anggota Jemaah untuk keluar daripada perhambaan dosa yang menyebabkan mereka tetapi dibelenggu oleh kemiskinan.

Vi)   Menanam Sikap Mahu Belajar

Seseorang yang menolak pendidikan sudah pasti tidak boleh diajar dan tidak mahu belajar dari kegagalan atau kejayaan orang lain.  Orang seperti ini akan mengulangi kegagalan orang lain bagi kehancuran dirinya sendiri (Ams 13:18).

Anggota gereja perlu didorong agar mereka mempunyai sikap yang terbuka untuk menerima pendidikan dan rela belajar daripada orang lain yang berjaya dalam hidup demi memperbaiki taraf ekonomi merekla sendiri.  Suku Rungus[4] sudah dikondisikan sejak dahulu kala lagi bahawa binatang ternakan yang baik itu adalah milik orang Cina sedangkan yang tidak baik itu adalah milik mereka.  Persepsi ini harus diubah atau dikikis agar kita mampu mencapai kemajuan hidup.

Apabila dasar-dasar di atas dapat diterapkan ke dalam kehidupan para anggota Jemaah dengan sesungguhnya, ia akan menghasilkan perubahan sikap kepada sikap yang berkenan di hadapan Tuhan.  Inilah peranan para gembala di dalam kita berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi anggota Jemaah terutama mereka yang melayani di kawasan pertanian.  Mereka perlu mengajar anggota Jemaah mengenai firman Allah yang mampu mengubah sikap.

Kemandirian gereja bukan soal sistem pentadbiran atau pengurusan kewangan yang canggih melainkan pembaharuan hati di kalangan kepimpinan dan anggota Jemaah.  Apabila kehidupan anggota sudah diperbaharui, mereka lebih rela menyumbang kewangan kepada gereja kerana mereka mempunyai wang untuk disumbang dan menyedari akan kasih Allah dalam hidup mereka.


[1] Rev. Thomas Tsen, Perbincangan alam kuliah, Misi dan Penginjilan Semester 1, 2001.
[2] _________PCS Silver Jubilee Souvenir 1952-1977, Taman Gereja PCS, hlm 33.
[3] Peter Tan, The Law of Prosperity, Petaling jaya: Peter Tan Evangelism hlm 2-3.
[4] Mentaliti mengagung-agungkan milik orang Cina adalah menyeluruh di kalangan bumiputera.  Ketika ayam ternakan saya dicuri, ada orang yang terdengar komen daripada pencuri tersebut bahawa ayam yang mereka curi itu adalah ayam Cina, gemuk-gemuk semua.

No comments:

Post a Comment