Tuesday 2 November 2010

Perana Gembala Dalam Pertumbuhan Iman Jemaah

             

Pelayanan rasul Paulus merupakan suatu pelayanan yang didorong oleh kuasa kebangkitan yang ada pada dirinya sehingga ia rela berkorban dan rela bersama Kristus supaya kebangkitan Kristus semakin dinikmati oleh banyak orang. .  Paulus berkata bahawa dia telah menerima gerakan kuasa kematian di dalam dirinya supaya gerakan kuasa kebangkitan itu ada pada kita (2 Kor. 4:12).  Menurut Stephen Tong, apa yang dikatakan oleh Paulus itu adalah erti pelayanan yang sesungguhnya[1].  Seorang pelayan sejati rela berkorban demi kehidupan anggota Jemaah yang dilayaninya seperti kata Tuhan Yesus bahawa gembala yang baik (Yoh 10:11) rela berkorban bagi kawanan dombanya manakala gembala upahan akan meninggalkan kawanan dombanya apabila ia berhadapan dengan bahaya.

Tugas utama seorang gembala adalah memberitakan Injil.  Menurut Dr Peter C. Wagner, pemberitaan Injil adalah alat utama bagi pertumbuhan[2] iman anggota Jemaah.  Dengan itu, sangat penting bagi seorang gembala menyedari akan panggilannya sebagai pelayan dan tanggungjawab yang datang bersama dengan panggilan itu.

i)              Panggilan Sebagai Pelayan

Seorang gembala bukan sahaja penting untuk memiliki hidup baru (lahir baru) tetapi juga harus jelas tentang panggilan Tuhan di dalam hidupnya sebab memiliki lahir baru sahaja tidak cukup untuk menjadi seorang pelayan yang berhati pelayan.  Ia akan menghadapi masalah di dalam menjalankan tugas pelayannnya jika tidak ada panggilan yang jelas sebab ia tidak akan terbeban dengan tugasnya.  Martin Luther pernah dilaporkan sebagai berkata, “Jika seseorang tidak jelas tentang panggilan Tuhan baginya untuk melayani, adalah lebih baik ia melarikan diri dari tugas yang kudus itu sebab tugas sebagai gembala tidak boleh dilakukan dengan sembarangan sahaja[3].  Ungkapan ini menunjukkan bahawa tugas seorang pelayan tidak boleh dipandang remeh.

Menggembalakan domba Allah bukan kerana minat, mengejar pengaruh atau mengejar kemewahan atau glamour melainkan untuk memimpin anggota Jemaah berdamai semula dengan Allah (Rm 5:11) dan tugas ini idak boleh dilakukan dengan sambil lewa sahaja.  Tugas ini menuntut kejujuran dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.

Allah tidak menjadi kemampuan seseorang yang hebat sebagai ukuran apabila Ia memanggil seseorang menjadi pelayan-Nya melainkan keserupaannya dengan Tuhan Yesus serta kesediaannya untuk dipakai oleh Tuhan.  Pelayanannya yang pertama ialah meninggikan Yesus di dalam hidupnya dan yang kedua ialah mengasihi Yesus lebih daripada pelayanannya.  Ia harus mengasihi Dia dengan segenap hati, jiwa, akal budi dan kekuatannya (Mrk 12:30).

Yesus adalah contoh yang terbaik sebagai hamba yang melayani.  Di dalam Injil Yohanes 13, kita dapat membaca bahawa Yesus telah membasuh kaki murid-murid-Nya.  Dia telah melakukannya sebagai contoh kehidupan pelayan yang benar-benar terpanggil untuk menjadi pelayan.

ii)            Panggilan Sebagai Pengkhutbah

Gembala sebagai pengkhutbah berperanan untuk menyampaikan apa yang Tuhan ingin sampaikan kepada Jemaah-Nya atau sebagai penyambung lidah Allah (Yer 15:19).  Sebagai pengkhutbah dia harus mengerti kehendak Tuhan dan menyelami visi Tuhan bagi Jemaah-Nya.  Ini boleh dicapai apabila seorang gembala itu memiliki hati yang sudah diperbaharui[4].  Seorang gembala harus peka terhadap situasi dan keperluan anggota Jemaahnya yang sebenar.  Ia juga berperanan untuk menyatakan kebenaran atau hukum Tuhan di tengah-tengah Jemaah sebab itu adalah sangat penting seorang gembala berani menyatakan kebenaran dan keadilan Tuhan agar anggota Jemaah disedarkan akan sesuatu hal.  Dia akan mampu melakukannya apabila ia sendiri sudah memiliki kebenaran tersebut.

Seorang pengkhutbah tidak seharusnya menggunakan kesempatan berkhutbah untuk menembak anggota Jemaah.  Perbuatan seperti itu menyebabkan sesebuah khutbah itu menyeleweng daripada kebenaran firman Allah sebab dia bukan menyampaikan firman Allah melainkan hanya ingin melafazkan perasaan geramnya.  Panggilannya sebagai pengkhutbah adalah untuk membangun, mendorong, menggalak dan menghibur anggota Jemaah agar semangat mereka lebih dikuatkan lagi untuk melibatkan diri di dalam kegiatan gereja dan menyumbang idea-idea yang mampu membangunkan gereja, membangunkan iman Jemaah dan membangkitkan semangat kerjsamsa di kalangan anggota Jemaah.

iii)          Panggilan sebagai Pengajar

Di dalam 2 Timotius 2:15, rasul Paulus menegaskan kepada Timotius bahawa peranan seorang gembala adalah untuk mengajar tentang kebenaran firman Allah tanpa rasa malu.  Dia harus tetap setia di dalam tugasnya walau apapun keadaannya.  Tugas seorang gembala adalah menggembalakan kawanan domba Allah melalui pengajaran firman Allah.  Seorang gembala bertanggungjawab untuk mengajar anggota Jemaah bagi membantu mereka mengetahui kebenaran (Yoh 8:31-32) sebab kebenaran itulah yang akan membebaskan mereka untuk menyembah Allah di dalam roh dan kebenaran.

Masalah di kalangan anggota gereja yang masih tidak mampu membebaskan diri dari ikatan kebiasaan-kebiasaan dunia mungkin disebabkan mereka tidak pernah diajar tentang suatu kebenaran.  Peranan gembala adalah mengajar anggota Jemaah tentang seluruh kebenaran firman Allah tanpa memilki sikap yang enggan menyatakan sesuatu yang dirasakan menyinggung perasaan para anggota Jemaah walau pun itu adalah firman Allah atau yang lebih teruk lagi kerana ia sendiri akan terkena tempias dengan kebenaran itu.

iv)          Panggilan Sebagai Pemimpin

Gembala atau pastor/pendeta adalah gelaran bagi seorang yang memenuhi persyaratan sebagai pemimpin gereja sebab gembala juga adalah pemimpin.  Seorang pemimpin perlu mengambil satu pendekatan yang bersepadu untuk memimpin Jemaah.  Di dalam usaha untuk memimpin Jemaah, seorang gembala tidak seharusnya terlalu menekankan tentang kuasa yang dimilikinya sebagai pemimpin melainkan peranan kepemimpinan-nya itu hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk memimpin Jemaah ke arah jalan Tuhan[5].   Cara pendekatan dalam kepemimpinan harus bijaksana (1 Tim 5:1-5), setia dan jujur, tidak ada pilih kasih melainkan semua anggota Jemaah dilayani sama rata.

Seorang gembala harus ada strategi yang baik dalam membangunkan pelayanan penggembalaannya agar senang baginya untuk mengevaluasikan keberkesanan pelayanannya.  Gembala sebagai pemimpin juga berperanan sebagai pentadbir gereja.  Untuk membangun sebuah Jemaah, seorang gembala harus memiliki perancangan yang terperinci dan sistematik demi kelancaran perjalanan pelayanan dan pentadbiran gereja.

Seorang pemimpin seharusnya berjalan mendahului anggota Jemaah di dalam sebarang kegiatan Jemaah supaya anggota Jemaah didorong untuk sama-sama ikutserta.

Seorang pemimpin harus taat sepenuhnya kepada Tuhan dan harus memiliki kerendahan hati untuk memimpin sesama manusia.  Yesus sendiri telah merendahkan diri sehingga Ia mati di atas kayu salib sebagai teladan tentang hati yang paling nyata taat kepada Allah sampai mati (Flp 2:2-11).

v)            Panggilan sebagai Pembimbing

Seorang gembala mempunyai peranan yang sangat penting sebagai hamba Allah kerana ia bukan sahaja diharapkan untuk membimbing anggota Jemaah bertumbuh di dalam kehidupan rohani mereka tetapi ia juga diharapkan untuk membimbing mereka keluar dari masalah yang mungkin ada sangkut paut dengan masalah psikologi[6].  Ini telah menyebabkan seorang gembala menjadi tumpuan bagi anggota Jemaah apabila mereka mempunyai masalah.  Senario ini terjadi sebab seorang gembala adalah yang paling dekat dengan anggota Jemaah sebagai gembala yang menggembalakan mereka.

Oleh hal yang demikian, seorang gembala perlu melengkapkan dirinya dengan pengetahuan dunia pembimbingan Kristian supaya ia dapat memainkan peranannya yang serba menyeluruh dengan lebih berkesan sama ada dalam bidang pelayanan kerohanian mahupun dalam bidang pelayanan pembimbingan.  Peranan pembimbingan Kristian di dalam sesebuah Jemaajh kini semakin penting kerana keperluannya semakin nyata sebab manusia juga semakin maju.  Kemajuan yang dikecapi itu datang dengan berbagai-bagai masalah yang merumitkan lagi tugas seorang gembala sidang.

vi)          Panggilan Sebagai Imam

Seorang gembala sidang bukan hanya berperanan sebagai nabi tetapi juga berperanan sebagai imam yang akan mendamaikan manusia dengan Allah.  Ia berperanan untuk membawa orang-orang yang berdosa untuk kembali kepada jalan Tuhan (1 Ptr 2:9 & Ibr 7:22-25).  Yesus sebagai Imam Besar yang hidup akan menjadi pengantara mereka.  Seorang gembala sidang yang sudah dilahirkan baru akan menjadi alat pendamai di antara manusia dan Allah.  Matius 5:9 berkata, “Berbahagialah orang yang membawa damai kerana mereka akan disebut anak-anak Allah”.

Seorang gembala berperanan sebagai pendoa syafaat.  Dalam keluaran 32:30-32, Musa berdoa kepada Tuhan untuk keampunan dosa umat Israel.  Musa telah menjadi alat pendamai di antara umat Israel dengan Allah.  Di dalam 2 Timotius 2:24-26,  seorang gembala berperanan sebagai pendamai, mendamaikan orang dengan Allah agar mereka akan bertaubat, menasihati orang agar tidak bertengkar melainkan berkelakuan lemah lembut.  Yesus juga berperanan sebagai pendamai di antara Allah dan manusia.


Sekiranya apa yang disarankan di atas dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh para pelayan Gereja, ada kemungkinan besar bahawa anggota Jemaah kita akan mencapai peningkatan taraf ekonomi sebagaimana yang kita harap-harapkan.


[1] Stephen Tong, Pelayan Yang Berkorban, Surabaya: Lembaga Reformed Injil Indonesia, hlm 5.
[2]. Peter Wagner, Manfaat Karunia Roh, Malang: Gandum Mash lm 173
[3] Rev. Thomas Tsen, Nota Kuliah, Pelayanan Pastoral, Semester 2, 2000
[4] Ibid
[5]. Rev. Thomas Tsen, Nota Kuliah, Pelayanan Pastoral, Semester 2, 2000
[6] Pastor Judy Berinai, Nota Kuliah, Kaunseling Pastoral, Semester 1, 1999

No comments:

Post a Comment